Aug 21, 2011

Metos Masyarakat Melayu Mengenai Lailatul Qadr


Kadang-kadang saya selalu mendengar orang meramal bilakah berlakunya malam Lailatul Qadr kerana ingin beribadat dengan bersungguh-sungguh pada malam itu. Tapi kita perlu ingat bahawa perkara ini adalah salah kerana malam ini hanya diketahui oleh Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri tidak pernah memaklumkan bilakah waktu sebenar Lailatul Qadr.

Menemui malam Al-Qadr tidaklah melalui tanda-tanda fizikal. Hanya Allah jualah yang mengetahui siapa yang dianugerahkanNya menemui malam tersebut. Tiada siapa sebenarnya mengetahui bilakah berlakunya atau telah berlakunya malam Al-Qadr. Di antara kejadian pelik yang merupakan metos yang dikaitkan dengan malam Al-Qadr ialah:
  1. Air sungai berhenti mengalir.
  2. Pepohon menunduk.
  3. Bekunya air.
  4. Pokok sujud ke bumi.
  5. Ufuk langit merah.
Sebenarnya, pengalaman merasai malam Al-Qadr tidaklah dapat dirasai atau dialami oleh pancaindera. Kalaupun perkara-perkara pelik itu berlaku, ia hanyalah satu kebetulan dan ketentuan Allah s.w.t. semata-mata. Rebutlah beramal di malam-malam 10 terakhir Ramadan tanpa perlu melihat tanda-tanda fizikalnya. Adapun orang yang mengalami malam tersebut, adakalanya mereka sendiri mengetahui bahawa malam itu ialah malam Al-Qadr. Namun demikian, Allah lebih mengetahui. Ramai juga yang tidak mahu tidur pada malam yang dijangkakan Lailatul Qadr kononnya untuk bertemu dengan malam tersebut. Ini satu lagi perkara tahyul dan tidak berasas.

Pokok terpenting ialah mempertingkatkan amalan-malan pada 10 malam terakhir Ramadan. Kalaupun seseorang bertemu dengan malam Lailatul Qadr, akan tetapi tidak mempunyai amalan, persiapan ibadah atau penyucian batin, maka tidaklah ia mendapat keberkatan dan manafaat malam tersebut.

Petanda Berlakunya Lalilatul Qadr.

Petanda berlakunya malam istimewa ini boleh diketahui pada malam tersebut ataupun pada pagi berikutnya. Namun demikian, semua petanda yang diberikan dalam Hadis adalah terlalu umum dan sukar untuk dihuraikan kerana ketiadaan tanda spesifik dan berfokus.

Petanda pada waktu malam ialah riwayat Imam Ahmad bin Hanbal “Tandanya adalah langit bersih, terang bagaikan bulan sedang purnama, tenang, tidak dingin dan tidak pula panas ...”. Hadis ini menepati keadaan dan suasana malam Al-Qadr yang sejahtera, tenang dan damai. Insyaallah pada malam Lailatul Qadr, barangkali langit tidak akan kelihatan awan hitam atau gumpulan awan tebal yang mengotorkan langit dengan noda. Katakanlah walau pada malam 27 Ramadan, langit kelihatan terang seperti malam 15 atau 16 bulan purnama. Maksud tenang sukar untuk digambarkan, mungkin merujuk kepada ketenangan malam dan suasana. Cuaca dan suhu tidak dingin dan tidak panas. Kalau di Malaysia barangkali antara 24 hingga 29 darjah celsius.

Petanda waktu pagi selepas malam Al-Qadr pula ialah riwayat Imam Muslim, Abu Daud, dan Al-Tirmidzi antara lain meriwayatkan melalui Ubai bin Ka'ab yang bermaksud: ”Tanda kehadiran Lailatul Qadr ialah matahari pada pagi harinya (kelihatan) putih tanpa sinar (nya).” Apakah yang dimaksudkan di sini matahari tidak kelihatan kemerah-merahan pada waktu pagi? Wallahu A’lam.

sumber

No comments: